Pemain tengah skuad kebangsaan, Nooa Laine menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Finland bersama kelabnya iaitu SJK Seinäjoki sekaligus mencipta rekod yang cukup membanggakan.

Menurut perkongsian FR Future Talent di laman media sosial, Nooa mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama SJK dan membantu kelab itu mencipta rekod 15 perlawanan tanpa kalah setakat ini.

Rekod ini membolehkan SJK menghuni tangga teratas dalam saingan Veikkausliiga dengan kutipan 35 mata, dua mata dihadapan Kuopion Palloseura yang menghuni tangga kedua sekaligus berpeluang untuk meraih slot play-off bagi peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Perkembangan ini dilihat sebagai satu perkara bagus khususnya untuk skuad kebangsaan kerana Nooa merupakan salah satu pemain yang dipanggil Kim Pan-gon pada jendela perlawanan FIFA bulan Jun lalu.

Nooa Laine konsisten mendapat minit bermain di Finland dan ini bermaksud beliau berada dalam posisi sentiasa bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan skuad kebangsaan sekiranya diperlukan oleh Pan-gon.

Mungkin perkara yang boleh dicuba oleh pengendali dari Korea Selatan itu ialah mengubah kedudukan Nooa di posisi tengah dimana Pan-gon sebelum ini gemar menggunakan pemain itu untuk beraksi di posisi pemain tengah bertahan.

Bersama SJK, Nooa banyak digunakan sebagai pemain tengah menyerang dan perkara ini membuahkan hasil bagi kelab itu yang masih belum tewas dalam 15 perlawanan yang dihadapi setakat ini.

Skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan pada September ini dan Nooa mungkin dipanggil sekiranya mempamerkan prestasi konsisten di Finland.